Setiap kelahiran adalah anugerah yang tidak ternilai bagi setiap insan yang bergelar suami dan isteri.
Bagi Allah jualah milik segala yang ada di langit dan di bumi. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Dia
mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan
mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Atau
Dia mengurniakan mereka kedua-duanya, anak-anak lelaki dan perempuan dan
Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul.
(Surah As-Syura ayat 49 dan 50)
Alhamdulillah, bersyukurlah kepada Allah SWT kerana dikurniakan anak.
Dalam Islam ada adab-adab yang perlu diikuti agar dinilai sebagai suatu
ibadat, antaranya;
1. Menunjukkan Rasa Gembira dan Ucapan Tahniah
Hendaklah orang yang mengetahui saudaranya yang baru menerima cahaya
mata untuk menunjukkan rasa gembira dengan kelahiran anak dengan ucapan
tahniah.
Ucapan yang terbaik adalah seperti disebut oleh Ulama’
iaitu: “Burika laka fil Mauhub, wasyakartal Wahiba, wabalagha rushdahu
waruziqta birrahu (Moga diberkati untukmu pada kurnia-Nya dan hendaklah
engkau bersyukur kepada Pengurnia (Allah) dan moga anak itu mencapai
umur dewasa dan engkau memperoleh kebaktiannya).”
2. Azan Serta Qamat Sejurus Selepas Kelahiran
Apabila anak itu lahir, maka hendaklah diazankan pada telinga kanan
bayi dan diiqamatkan pada telinga kirinya seperti hadis diriwayatkan
al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu’ab daripada hadis Hasan bin Ali RA
daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang dianugerahkan
seorang bayi, lalu dia mengumandangkan azan di telinga kanannya dan
iqamat di telinga kirinya, maka bayi itu akan dijauhkan daripada Ummu
Syibyan.” Menurut sebahagian ulama, Ummu Syibyan adalah jin perempuan.
Ada yang mengatakan apa saja yang menakutkan anak dan ada yang
mengatakan angin yang menyebabkan sakit.
3. Hendaklah Di Tahnikkan
Tahnik bermaksud mengambil sedikit kurma pada jari telunjuk lalu
dimasukkan pada mulut bayi lalu digerakkan perlahan-lahan ke kanan dan
ke kiri agar menyentuh seluruh mulut bayi. Seterusnya manisan itu akan
masuk ke rongga tekak dan tahnik ini dilakukan supaya memudahkan bayi
ketika menyusu. Sebaik-baiknya orang yang mentahnik bayi adalah orang
yang salih supaya bayi berkenaan memperoleh keberkatan. Menurut hadis
riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa RA: “Saya dikurniakan
seorang anak lelaki. Lalu saya membawanya kepada Nabi SAW. Baginda SAW
memberikan namanya Ibrahim dan mentahniknya dengan kurma.” (Imam
al-Bukhari menambahkan: Rasulullah mendoakan agar diberi berkat dan
dipulangkan bayi itu kepadaku).
4. Mencukur Rambut
Ibnu Ishaq menyebutkan sebuah hadis riwayat al-Baihaqi daripada Abi
Rafi’ Maula Rasulullah SAW bahawa ketika Hasan bin Ali lahir, ibunya
Fatimah ingin mengakikahkannya dengan dua ekor kambing. Lalu
Rasululullah SAW bersabda: “Jangan kamu mengakikahkannya tetapi cukurlah
rambutnya kemudian sedekahlah dengan perak seberat timbangan rambutnya
di jalan Allah atau berikan kepada orang musafir.” Kemudian (tahun
berikutnya) apabila lahirnya Husain selepas itu, Fatimah melakukan
seperti itu juga. Imam al-Baihaqi berkata: “Jika hadis ini sahih,
agaknya Rasulullah SAW mahu mengakikah sendiri cucu Baginda seperti yang
kami riwayatkan.”
5. Melakukan Akikah
Seperti
disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Ahmad daripada Aisyah RHA, beliau
berkata: “Rasulullah menyuruh kami supaya mengakikahkan anak perempuan
dengan seekor kambing dan anak lelaki, dua ekor kambing.”
Sumber : I Luv Islam
No comments:
Post a Comment