Sunday, December 12, 2010

Muzikal Tun Mahathir 2 Dipentaskan Tanpa Erra, Zizan!

Teks oleh Syafiqah Jalal

Foto oleh Mazlan Fotografi

KUALA LUMPUR, 10 DIS 2010: Baru sahaja dua bulan dipentaskan, kini CTRA Production dengan kerjasama Istana Budaya sekali lagi bakal mementaskan Muzikal Tun Mahathir Musim 2 (MTM2) di Panggung Sari Istana Budaya bermula pada 21 Januari 2011 hingga 30 Januari 2011.

Pementasan semula MTM2 ini menjadikan ia sebagai teater pertama di negara ini yang dipentaskan semula dalam tempoh yang singkat iaitu hanya tiga bulan selepas ianya dipentaskan dari 24 September 2010 hingga 9 Oktober 2010 yang lalu.

Penerbit MTM2, Siti Rohayah Attan berkata keputusan mementaskan semula teater ini dibuat berdasarkan permintaan ramai dan keinginan Tun Dr. Mahathir sendiri untuk menonton sendiri teater tersebut kerana dia pernah tidak berkesempatan menontonnya pada pementasan pertama.

"Saya telah pun mendapat keizinan daripada Tun Mahathir sendiri untuk mementaskan semula teater ini. Keizian dan restu itu saya perolehi melalui surat Tun Mahathir bertarikh 29 Oktober 2010 iaitu kira-kira 20 hari selepas selesainya persembahan pertama," jelasnya ketika ditemui dalam sidang media yang berlangsung di Istana Budaya petang semalam.

Menurutnya, pertemuan dan perbincangan bersama tenaga produksi untuk pementasan kedua ini masih lagi dijalankan dengan serius dan pantas memandangkan mereka hanya mempunyai masa hanya sebulan untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Apa yang paling mengejutkan, dua pelakon utama dari pementasan pertama, Erra Fazira yang melakonkan watak Tun Siti Hasmah dan Zizazan Nin yang membawa watak Tun Mahathir ketika zaman remaja itu tidak dapat bersama-sama dalam pementasan MTM2 tersebut.

"Kami tidak dapat mengekalkan Erra dalam pementasan kali ini kerana jadual kerjanya yang padat dan bertindih dengan jadulal rehearsal dan pementasan kami. Mungkin kami perlu book Erra lebih awal tapi kami tidak boleh berbuat apa-apa jadualnya sudah ditentukan lebih awal.

"Namun terus-terang saya katakan, kami masih lagi mencari-cari siapa yang boleh menggantikan Erra sebagai watak Tun Siti Hasmah itu. Bukan senang untuk memilihnya kerana seseoang itu perlulah berbakat dan mempunyai peribadi yang berkarisma. Kami akuinya, kami sudah kesuntukan masa, tetapi kami masih buntu dan akan mencarinya dalam masa yang singkat," katanya kepada murai.com.my.

Manakala Zizan pula, kata Siti Rohayah, pada awalnya dia memang sudah bersetuju untuk bersama-sama dengan pihak produksinya dalam pementasan kali kedua ini tetapi di saat-saat akhir pengurus Zizan sendiri pula yang tidak bersetuju dengan bayaran yang dikenakan.

"Memang terjadi dalam setiap produksi selalunya bayaran pertama akan lebih banyak kerana masa latihan panjang yang diperuntukkan. Musim kedua sepatutnya lebih mudah kerana masing-masing telah pun mengetahui perwatakan dan jalan cerita.

"Pengurus Zizan bagaimanapun telah meminta harga yang tidak pernah terjadi dalam sejarah Istana Budaya dan saya tidak dapat menyatakan di sini berapa bayaran yang diminta itu. Malah dia juga meminta royalti ke atas setiap barangan yang tertera gambar Zizan.

" Zizan pelakon yang bagus namun cara pengurusnya itu secara tidak langsung telah menutup peluang untuk dia berkembang," ujarnya yang sedang mempertimbangkan Ady Putra untuk menggantikan tempat Zizan Nin.

Namun pelakon asal seperti Esma Daniel, Misha Omar, Datuk Jalaludin Hassan dan Diana Johar masih terus dikekalkan, disamping mengetengahkan beberapa orang muka-muka baru antaranya Azean Irdawaty dan AC Mizal.

Teater ini juga masih mengekalkan Rosminah Mohd Tahir sebagai pengarah, manakala Ismail Kassan sebagai penulis skrip. Tiket-tiket berharga RM32, RM52, RM82, TM102, RM152 dan RM302 sedang dijual dan boleh diperolehi melalui www.ticket2u.bizatau datang sendiri ke kaunter di Istana Budaya.

Bagi keterangan langjut sila layari www.muzikaltunmahathir.blogspot.comatau menelefon 03-61866592 / 03-40265558/ 03-41478600.


credits- murai.com.my

No comments: